Etnomatematik Malayonesia Kontemporer

Etnomatematik lebih dikenali sejak pengajuannya oleh D’Ambrosio dalam sekitar akhir dasawarsa 1980-an, sebagai matematik sesuatu kumpulan etnik, bangsa atau peradaban dahulu kala. Bagi D’Ambrosio ilmu ini diguna untuk unsur pendidikan bagi mencitrakan matematik kepada pelbagai tamadun, khasnya peradaban sendiri, dan menghilangkan rasa perhambaan Eropah. Takrif etnomatematik sebegini diperluaskan oleh penulis ini sejak awal alaf ini sehingga menjadi etnomatematik, sebagai karya sesuatu etnik atau bangsa sepanjang masa sejak zaman Yunani sehinggalah matematik kontemporer. Bagi mengukuhkan lagi takrif ini, kumpulan penulis ini telah menerbitkan beberapa unsur sains matematik kontemporer yang berupa kritikan matematik kini berasaskan sistem nilai Malayonesia. Contoh unsur matematik itu ialah pengoptimuman yang menjadi sinonim dengan ekonomi dan unsur asas atau dominan dalam pengurusan dan kewangan di samping unsur penting dalam bidang sains dan teknologi. Beberapa unsur sains matematik yang lain turut dipaparkan kelemahannya. Semua ini menerbitkan medan penyelidikan matematik kontemporer yang amat mencabar dan amat luas yang sarat dengan nilai-nilai daripada kebudayaan sendiri.